Setelah menamatkan perkhidmatan saya dalam DOSM, saya menemui bidang yang benar-benar saya minati iaitu Haji dan Umrah. Secara tidak sengaja, saya menumpukan perhatian untuk belajar selok-belok pengurusan Haji dan Umrah selama tiga bulan dan Alhamdulillah saya kini bergelar Wakil Syarikat dan bertugas sebagai Pelapis Mutawwiffah / Agen Pemasaran.
Sepanjang perjalanan ini, saya berpeluang mengikuti Kursus Program “Training The Trainer” di Tanah Suci bersama Mursyid Ustaz Abdullah dan Mursyidah Ustazah Masriah yang telah memperkukuh kefahaman saya tentang ibadah, pengurusan jemaah dan etika mutawwiffah.
Dalam pengalaman singkat selama tiga bulan ini, saya memahami impian ramai orang untuk menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah. Ramai yang mengidamkan peluang melaksanakan Haji dan Umrah termasuk mereka yang ingin menunaikan Badal Haji untuk ahli keluarga yang sakit atau yang telah meninggal dunia.
Alhamdulillah, saya diberi kepercayaan untuk membantu mereka menunaikan amanah ini. Setiap perjalanan yang berjaya dilaksanakan membuatkan saya menitis air mata syukur kepada Allah Yang Maha Esa kerana niat saya untuk menolong orang lain menunaikan ibadah Haji dan Umrah akhirnya terlaksana.
Semoga rahmat Illahi sentiasa menyinari perjalanan saya, agar saya dapat terus membantu lebih ramai jemaah bersama-sama mereka berjuang dengan penuh amanah dan dedikasi. Saya ingin bersinar seperti cahaya Mutiara Tiram yang membawa sinaran “Yang Bercahaya Buat Selamanya” dan menjadikan setiap langkah bimbingan saya kepada ummah sebagai satu disiplin serta sumber inspirasi bagi mereka yang menunaikan Haji dan Umrah.